Seperti biasa, barat tidak henti-henti melakukan provokasi terhadap duni Islam yang semakin berkembang ini. Mereka tidak dapat menerima hakikat kebenaran Islam dan sukar untuk menerima kebangkitan umat ini. Namun, seperti biasa, umat ini juga tidak banyak belajar dari kesilapan.
Baru-baru ini, Geerts Wilder, seorang ahli parlimen Netherlands telah menerbitkan sebuah video 16 minit yang menayangkan keganasan umat Islam, penipuan terhadap syariat Islam yang dikatakan menyekat kebebasan dan kebimbangan mereka tentang keaktifan penyebaran Islam serta pertambahan bilangan umat Islam yang mendadak di Eropah.
Sudah menjadi kebiasaan golongan yang jahil ini melakukan penghinaan, sabotaj, provokasi dan sebagainya terhadap Islam dan umatnya. Persoalannya sekarang, setiap kali dihidangkan dengan provokasi demikian, kita terus menerus memberikan respons yang akhirnya menjadi liabiliti kepada umat ini dan seterusnya menjadi aset kepada dunia barat untuk melangsungkan agenda mereka pada masa hadapan.
Respons seperti:
- Membuat demonstrasi jalanan besar-besaran
- Membakar bendera-bendera
- Memusnahkan harta benda
- Mengugut melakukan serangan
- Membunuh golongan-golongan terlibat
- Malah yang lebih teruk, melakukan serangan berani mati keatas negara-negara berkenaan di kawasan tumpuan awam



Saya bersetuju, ada diantara respons di atas perlu dalam menyatakan kemarahan kita sebagai umat yang cintakan Islam dan Junjungan Besar Rasul Sallallhualaih wasallam. Akan tetapi kebanyakan respons ini didahului dengan emosi.
Berani saya katakan, sebenarnya inilah yang diingini oleh golongan penentang Islam. Mereka mahukan kita termasuk kedalam perangkap mereka sehingga mereka dapat melakukan ’counter attack’ disebabkan kebodohan kita melakukan tindakbalas melulu.
Namun begitu, terdapat juga segelintir respons seperti:
- Membuat bantahan sekadar,”Kami membantah sekeras-kerasnya penayangan video FITNA oleh dunia barat”, atau
- “Kami belum membuat apa-apa keputusan berhubung penayangan video tersebut”, atau
- Yang lebih teruk, “Kami tidak mengetahui apa-apa tentang video tersebut.“
Ini juga penyakit yang melanda umat ini. Lemah, tiada prinsip dan kaku. Sangat menyedihkan. Sebuah institusi sebesar sebuah negara, malah gabungan banyak negara Islam hanya mampu menyatakan, “Kami membantah sekeras-kerasnya penayangan video tersebut.“
Namun, masalah umat ini bukan lagi topik perbincangan. Masalah ini sudah 84 tahun ini dibincangkan. Ini adalah masa bertindak. Ini adalah masa untuk kita memainkan peranan sebagai individu dan komuniti yang memahami risalah ini.

Berhubung isu penayangan video FITNA tersebut, Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi mencadangkan lima peranan yang boleh dan perlu dipraktikkan oleh umat Islam:
- Hujah-hujah ilmiah dan akademik perlu disebarkan untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam, dan hujah-hujah ini perlu diterbitkan dalam pelbagai bahasa agar masyarakat seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.
- Masyarakat perlu meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan sebarang tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.
- Respon dalam bentuk kesenian dan sebaran media perlu dilakukan kerana filem-filem dan rancangan televisyen boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjelaskan sifat dan imej sebenar Islam.
- Umat Islam juga perlu memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.
- Umat Islam sendiri perlu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana yang diajar dalam Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad Sallallahualaih wassalam agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.
Sebagai Muslim yang tinggal di Malaysia mungkin tidak merasai gelombang ISLAMOPHOBIA. Mungkin disebabkan itu kebanyakan umat Islam di Malaysia berasa sangat selesa dan langsung tidak mengambil berat akan perihal dunia Islam.
Bagi kami, umat Islam di Eropah, perkara ini mungkin rahmat bagi kami kerana Allah telah menyediakan ruang medan untuk kami melakukan sesuatu. Medan dakwah terbukan luas disini. Seruan saya kepada Muslim Eropah, tekadkan azam dan kuatkan mujahadah. Syurga Allah menanti.
Sekadar berkongsi.
Azizul Salehudin
Czech Republic
30 Mac 2008

